SEKAPUR SIRIH DARIPADA GURU BESAR (HAJI FUAD BIN ISMAIL)
Assalamualaikum Wrbkth.Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah hidayahNya, majalah PRISMA ini dapat juga diterbitkan.Jutaan terima kasih saya ucapkan kerana memberi peluang kepada saya untuk mencoretkan sepatah dua kata sebagai satu cetusan paradigma buat semua warga akademik Sekolah Kebangsaan Mahmud dalam majalah ini. Kemunculan majalah ini amat dinantikan dan merupakan satu tanda yang menggambarkan wajah Sekolah Kebangsaan Mahmud sepanjang tahun 2007.Di samping itu, ianya merupakan satu lapangan atau landasan buat para pelajar memaparkan idea-idea yang bernas dan menarik.Satu kenyataan yang jelas terpapar adalah semangat kerjasama dan komitmen warga sekolah yang dipertontonkan bagi menghasilkan majalah sekolah pada kali ini.
Sejajar dengan alaf baru, maka seharusnya mutu pendidikan kita semakin maju ke hadapan sejajar dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang diwar-warkan.
Ini memerlukan satu pautan yang jitu antara peranan guru dan tanggungjawab seorang murid bagi menyusuri arus perubahanyang melanda dunia pendidikan negara kita ini.
Akhir kata,sebagai wakil dari pihak pentadbiran sekolah, saya ingin melafazkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru, pelajar-pelajar dan ibu bapa atas sokongan dan kerjasama anda bagi memartabatkan nama Sekolah Kebangsaan Mahmud.
Wassalam. |